Tuesday, July 05, 2005

cerita kawan lagi...

Semalam sempat jumpa seorang kawan lama. Masih manis macam dulu. Penampilan agak berbeza dari dulu. Yelah, dah 'dewasa' macam ni, memang la berbeza. Mula kenal dia lebih 20 tahun dulu. Masih sekolah. Sekarang ni dah kerja, dah kahwin dah punya anak.
20 tahun masa berlalu, rasanya terlalu pantas. Sempat berbual soal kerja, soal career, soal keluarga. Nak berborak lama, masing-masing kena kembali ketempat kerja. Cuma, masa hantar dia balik office, senyum dia masih manis macam dulu. Subjektif sungguh soal senyum ni, susah nak tafsir......
20 tahun masa berlalu, terlalu sekejap rasanya. Jika 20 tahun dulu, seorang bayi baru lahir, sekarang ni mungkin telah berada di universiti. Atau juga dah bekerja. Atau mungkin juga dia dah kahwin dan punya anak. Itulah namanya masa, kalau kita tak gunakan masa sepenuhnya, kita akan ditinggalkan masa. Dan kita tak mugkin dapat semula masa yang tertinggal dan yang ditinggalkan.
Balik pada kisah rakan ni, ada sesuatu rasanya yang cuba disembunyikan disebalik senyum manisnya. Ada kaca-kaca yang penuh cerita disebalik redup matanya. Ada cerita disebalik raut wajahnya yang tampak menyimpan pelbagai kisah disebalik senyum manisnya. Dia tak sepatutnya punya cerita sebegitu. Raut wajahnya perlu lebih dari yang terpancar sekarang ini. Dan telahan ini memang benar, ada kisah besar disebalik semua itu.
Kisah ini membuatkan aku terfikir, betapa kuatnya rakan aku ini. Aku dengar kisah ini dari mulutnya beberapa bulan lalu, tapi tak berpeluang menatap wajahnya seperti semalam. Kalaulah masa dapat diputarkan semula, kebelakang, mungkin dia tak mahu kisah ini berulang. Kalaulah dia dapat menukar sejarah, mungkin dia akan tulis sejarah yang berbeza untuk hidupnya. Namun, itulah hebatnya Pencipta kita. Setiap kita diberikan pelbagai kisah dan cerita untuk kita tulis. Dan untuk kita kongsi, semoga menjadi panduan untuk orng lain.
Sempat aku renung jauh keanak matanya, ada kisah yang lebih besar dari itu yang masih dia simpan rasanya. Aku tak mampu nak tafsir segalanya. Bagaimana diketika ini aku berharap untuk merenung jauh kelubuk hatinya, mungkin ada cerita lain yang dapat aku faham dari teman ini. Dan mungkin aku punya jawapan untuk redup matanya dan kaca-kaca dimatanya.
Sebentar tadi, sempat berbual lagi dengannya. Suaranya tak seperti perbualan sebelum ini. Mesranya telah kembali. Mungkin agaknya setelah beberapa kali berbual, kini kisah 20 tahun lalu kembali lagi. Mungkin ditalian ini adalah, dua teman yang sedang berbual kisah sekolah dan kisah asrama 20 tahun lalu. Manis sekali bunyi kisah dan sejarah itu - kisah sekolah dan asrama. Disanalah segala-galanya bermula, disanalah persahabatan ini bermula. Terpisah beberapa tahun selepas tamat peperiksaan terakhir disekolah. Bertemu semula di kota kosmopolitan ini. Kemudian terpisah lagi kerana masing-masing mencari haluan dan masa depan sendiri. Kemudian bertemu semula di tahun lepas, itupun secara tak sengaja di internet. Terjumpa e-mail nya, hantar e-mail bertanya khabar, terima balasan. Jumpa untuk pertama kali, itupun sekejap. Kemudian hilang lagi untuk beberapa bulan, jumpa semula, hilang lagi dan kini jumpa semula.
Entahlah berapa kali kisah hilang dan jumpa ini akan berterusan. Tapi, inilah uniknya persahabatan aku dan dia. Malang sekali aku bukan penulis. Jika tidak, mungkin kisah ini akan di novelkan, kalau tidak pun difilemkan. (filem? hhmmm... dah satu dekad aku tak tengok wayang, jadi lupakanlah soal filem). Kali ini hati aku cuma berkata - ini berbeza. Jumpa kali ini tak sama seperti dulu. Suaranya sebentar tadi yang aku nantikan selama ini. Inilah yang aku tunggu dari seorang teman. Cuma mungkin senyumnya belum lagi seperti 20 tahun dulu. Nantilah, bila episod kisah hidup berlikunya dapat ditamatkan, aku pasti aku akan lihat semula senyum manisnya seperti 20 tahun lalu.
Aku cuma boleh berharap, suatu hari nanti aku mampu membantunya untuk menulis kisah hidupnya yang lebih indah, yang lebih bererti, kerana aku hanya ingin melihat seorang lagi teman lama mampu tersenyum, semanis senyumannya lebih 20 tahun lalu.
Dan aku tak pernah berhenti berharap dan berusaha......

No comments: