Friday, December 31, 2004
Apa Seterusnya selepas ini?
Untuk menunjukkan simpati negara kepada semua mangsa, maka dibatalkanlah semua acara sambutan tahun baru, dan digantikan dengan doa selamat. Maka benarlah kata sesetengah pihak, kita cuma ingatkan agama masa lahir dan sekali lagi masa mati. Mala petaka ini, peringatan kepada yang masih hidup, apakah kita perlukan peringatan ini setiap tahun? Nauzubillah.
Kita biasa membaca sejarah lama, sejarah manusia ditelan bumi dan ditelan lautan, kisah ribuan manusia ditenggelami banjir atas kesilapan mereka sendiri, kisah bandar-bandar lama kini tempatnya didasar laut dan ditutupi bumi dan pelbagai kisah, yang kejadiannya diluar batas kemampuan kita.
Kiranya umur bumi ini panjang, maka di satu ketika nanti, akan tertulis dalam sejarah, pada 26 December 2004, bersamaan 14 Zulkaedah 1425, bumi Acheh, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia dan beberapa muka bumi yang lain, ratusan ribu penduduknya ditarik nyawa mereka sekali gus. Itulah antara kekuasaan dan kebesaran Illahi. Sebabnya, mungkin akan timbul pelbagai teori. Namun sebab yang sebenarnya, hanya Dia yang Maha Mengetahui, kerana gempa bumi dan tsunami itu, Dia yang hantar, bukan daya kita untuk menciptanya.
Tahun 2004 berakhir hari ini, tahun 1425 masih berbaki 40 hari lagi. Kita semakin tua, bumi ini juga semakin tua. Malangnya, fikiran kita tak sematang usia kita. Maksiat dan pembuat maksiat masih disanjung. Kebajikan dan penyeru serta pembuat kebajikan terus ditekan. Kita senang sekali dengan pesta-pestaan, senang sekali dengan Penang, Fullstop, dan itulah aganya kenapa tsunami ini bila hadirnya ke Penang dan fullstop disitu. Kita masih leka, masih lalai. Kita mengundang bencana, kita lupa untuk kembali kepangkal jalan.
Soalnya, sampai bila?
Thursday, December 30, 2004
Tsunami 3
[88] Dan mereka yang kafir berkata: (Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.
[89] Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
[90] Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap.
[91] Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak.
[92] Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar-Rahman, bahawa Dia mempunyai anak.
[93] Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
[94] Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu
Diatas tu petikan dari surah Maryam, dipetik dari Al-Quran. Dan kita masih lagi mencari-cari jawapannya.
Pesta sambutan tahun baru di tunda, dan setengahnya dibatalkan. Kenapa perlu batalkan bila jadi Tsunami? Sepatutnya jangan buat langsung. Ini pun kita masih tercari jawapannya. Kemana kita nak bawa diri kita sebenarnya? Kalau beginilah sikap kita, telah diberi peringatan demi peringatan, masih lagi tak sedar, takut nanti turun kehancuran mutlak untuk kita, nauzubillah.
Tuesday, December 28, 2004
Tsunami 2
Kasih bapa sukar dimengertikan. Itulah yang selalu dinyatakan oleh ramai teman-teman. Mereka ada bapa, dan mereka ada suami, yang juga bapa kepada anak-anak mereka, namun kasih bapa masih tetap jadi misteri. Kerana kasih bapa sukar dihitung dan dikira.
Seorang teman pernah bercerita, sewaktu adik kecilnya meninggal dunia, dia melihat bapanya menangis, walaupu bukan meraung. Dia melihat satu peristiwa yang belum pernah dia lihat sepanjang hajatnya. Dia lihat betapa besarnya kasih bapa kepada anak-anak. Tapi peristiwa ini hanya dapat dilihatoleh mereka yang berada dirumah diketika itu, peristiwa ini tamat hanya dalam beberapa ketika, apabila jiran mula datang kerumah.
Besar sekali kasih bapa, tapi sukar sekali kita melihatnya. Bila agaknya kita akan lihat kasih bapa yang sebenarnya? Apakah mereka terlalu ego untuk memperlihatkan kasih mereka kepada kita? Atau apakah kita mahu mereka mempertontonkan kasih mereka kepada kita mengikut acuan kita?
Walau bagaimana pun cara nya, kasih bapa terlalu besar dan terlalu tinggi harganya. Kasih ibu memang bukan persoalan, kerana kita keluar dari perut ibu. Kecapilah kasih itu, sebelum terlambat. Tapi, bagaimana ya?
Tsunami
Banyak lagi fakta pasal Tsunami ni, tak perlu lagi nak ulas. Semua pihak dah ulas. Orang politik dengan ulasan politik mereka, orang kerajaan dengan ulasan "cari makan" mereka, rakyat punya ulasan terbaik, kerana yang terkorban tu semua rakyat biasa, tak ada menteri dan tak ada pegawai kanan kerajaan yang mati.
Katanya kita negara canggih, negara maju, gegaran dirasakan waktu pagi, kuat pulak tu, Tsunami hadir waktu tengah hari, tapi tempuh tiga jam lebih itu, tak ada amaran langsung. Apakah jabatan yang begitu penting untuk keselamatan dan pertahanan negara tak ada orang kerja, semata-mata kerana bencana ini terjadi waktu hari cuti? Patutlah negara kita ni senang sangat diceroboh, mudah sangat pendatang asing mendarat disepanjang perairan negara. Gegaran yang berlaku begitu kuat pun pegawai kerajaan kita tak sensitif, inikan pula ombak dari bot tekong yang membawa rakyat asing.
Jangan diharap sangat dengan orang politik. Mereka apa tahu pasal gegaran, mereka tak faham pasal bencana alam, mereka hanya orang politik yang mencari publisiti politik, yang cuma nak jaga periuk nasi mereka sahaja. Tak percaya? PM yang sedang bercuti diluar negara tak sensitif langsung masalah ini. Cuma berdoa dari jauh, itu saja. Tak boleh ke balik terus kenegara bila dah tahu bencana menimpa. Tak kan la nak tunggu 5,000 orang mati baru nak balik sini. Ingat lagi President Indonesia dengan insiden letupan hotel tak lama dulu? Terus balik ke negaranya bila saja diberitahu ada insiden besar berlaku. PM kita cuma berdoa dari jauh, itu saja. TPM tok sah harap la, selain dari cakap yang tak tentu hujung pangkal tu, apa yang dia tahu? Peristiwa Sauk pun tak boleh nak di"arah"kan dengan baik, inikan pula nak tangani bencana besar begini.
Menteri-menteri lain tu, tak payah cakap la. Kalau ketua hanya mampu berdoa dari jauh, menteri lain tu, rasanya, berdoapun dia dah lupa.
Bila ada bencana sebegini, maka tampillah pelbagai pihak menubuhkan tabung kemanusiaan untuk membantu mangsa. NGO, Parti politik dan pelbagai pertubuhan. Bila yang kena bencana tu adalah rakyat, maka kenalah tubuh tabung untuk kutip derma dari rakyat, untuk tolong rakyat. Apa kerajaan dah tak ada duit ke untuk rakyat? Kita tak tolak tabung-tabung ni, kita suka nak tolong orang lain, tapi kerajaan tu buat apa? Bukankah kerajaan dah kurang tanggung subsidi minyak, dah tak payah bayar ganti rugi lebuhraya, jadi duit yang berjuta-juta tu nak buat apa? Sekarang ni rakyat tengah susah, pegi la bagi bantuan. Jangan la setakat bagi dua tiga ratus satu keluarga, dah heboh satu dunia. Pegi la tolong bagi tempat tinggal sementara, makanan pastikan dah cukup, anak-anak nak pegi sekolah monggu depan, baju dan buku dah ada ke? Lepas tu, bina semula rumah untuk rakyat, yang dah musnah tu. Ini kerja pemerintah, kalau tak mampu, bagi orang lain memerintah.
Akhirnya, macam juga komen-komen sebelum ini, balik lah kepangkal jalan. Dah banyak sangat peringatan diberikan, tapi kita masih gagal berfikir. Apakah kita ni dah tak ada Iman lagi? Bencana ni diturunkan tentu ada sebabnya. Kenapa dipilih pagi 26 December, tentu ada sebabnya. Ingat lagi kisah di Sabah beberapa tahun dulu? Juga di awal pagi 26 December. Sudah lah, berhentilah buat maksiat, balik lah kejalan yang benar, kejalan yang diredhaiNya. Kita ni manusia, Dia Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, ikutlah peraturanNya, bukan peraturan jahilliah ciptaan manusia.
Kalau kita masih leka, masih taksub pada orang politik dan cakap-cakap politik jaga periuk nasi tu, tunggu lah peringatan seterusnya dariNya. Bencana datang tak kenal siapa. Semua akan kena. Berhentilah berpesta-pestaan. Kalau kerajaan buat pesta, dan kita tak pegi, pesta tu pun tak jadi. Kalau yang layak memerintah tu masuk bertanding, dan kita tolak dia, dia pun tak boleh jadi pemimpin. Kalau Dia dah bagi peringatan dan kita cumja guna akal untuk cri jawapan, kita tolak jawapan dari iman, maka tunggulah gelombang akhirnya dariNya.
Semoga kita diselamatkan dari fitnah yang semakain menjadi-jadi diakhir zaman ini.
Friday, December 24, 2004
Syazwani, Hasmawi dan undang-undang
Apakah ada noktah kepada kes-kes sebegini? Jawapannya amat mudah sekali, kitalah yang akan meletakkan noktahnya. Ini tanggungjawab kita. Kalau selama ini undang-undang yang digarap manusia yang diterima pakai dinegara ini gagal membendung gejala ini, kenapa tidak beralih saja kepada undang-undang tertinggi yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Agung? Bukankah ini semua kuasaNya? Bukankah Dia yang menetukan segala-galanya? Bila pelbagai masalah timbul dan tiada sudahnya, kenapa tidak kembali kejalanNya?
Memang hebat polis kita, menyelesaikan kes ini kurang dari 24 jam, tapi apakah dengan tertangkapnya suspek ini, jiwa anak kecil ini dapat dikembalikan kepada keluarganya? Fikirkanlah dan ambillah tindakan sebelum terlambat.
Hasmawi Hassan hanyalah seorang pemain bola sepak peringkat negeri. dia bukannya seorang pemain diperingkat kebangsaan. Tiba-tiba kesnya menjadi terlalu besar. Bekas tunangnya membawa kes ini kemahkamah. Setiap hari ada saja ulasan kes ini, termasuklah dari peringkat orang politik, menteri, ADUN dan pelbagai pihak dan peringkat kepimpinan politik. Begitu besarnya kes ini. Muka depan akhbar nasional, begitulah statusnya.
Sebelum Hasmawi memberikan ulasannya, seolah-olahnya dia yang bersalah, pelbagai pihak menyatakan atau membayangkan dialah yang bersalah, dialah yang tidak beradat, dialah segala punca keruntuhan satu lagi keluarga yang bakal dibina ini. Dan lagi sekali, masyarakat beserta pemimpinnya, melatah membuat andaian hanya dengan mendengar ulasan dan pandanga dari satu pihak. Terlupa kita prinsip perundangan, seseorang itu tidak bersalah hingga dia dibuktikan bersalah.
Kita tidak boleh salahkan keluarga bekas tunangnya. Dalam situasi ini, mereka tentu kecewa, marah, sakit hati dan sebagainya. Kenapa tidak kita menjadi pendamainya? Hasmawi tu, biarpun bukan satu negara mengenalinya, tapi kerjanya kena berhadapan masyarakat, kena masuk TV, masuk surat khabar, sebab dia pemain bola sepak negeri. Mana dia nak lari kalau dia yang buat salah? Kenapa tidak diberi masa untuk mereka bertenang? Kenapa cepat sangat nak masuk berita muka depan? Kenapa cepat sangat nak masuk berita TV dengan begitu lama ulasannya? Nak salahkan media, mereka pun cari makan. Nak kata etika, apa etika yang media negara ini ada selain dari ikut telunjuk orang politik?
Akhirnya, seperti juga jawapan untuk segala masalah yang lain, kenapa tidak kembali saja kepada hukum Yang Maha Adil? Bukan kah kita ini hanyalah hamba-hambaNya?
Thursday, December 23, 2004
Toll, Orang Poltik dan kisah kita semua
Akhirnya, toll pasti akan naik jugak. Akhirnya orang politik kerajaan akan kata, kita terima penjelasan kerajaan dan kita perlu faham masalah kerajaan, tapi kita minta kerajaan kaji semula perjanjian supaya tidak menjadi beban kepada rakyat. Akhirnya pembangkang kata kita akan terus lawan, kita boikot lebuhraya bertoll. Akhirnya sayap pemuda yang sokong kerajaan (yang kina macam tak ada kekuatan dan hilang "kepemudaannya") kata kita sokong kerajaan tapi perlu la kaji semula.
Akhirnya rakyat kata, orang politik macam tu la, berkokok je labih. Yang susah kita, mereka apa kisah, bukan setakat duit toll, duit minyak kereta menteri dan orang-orang politik tu, kita yang bayar.
Yang untung tetap orang politik. Yang tentang kenaikan toll, dapat lebih sokongan rakyat. Yang sokong kenaikan toll, dapat lebih sokongan menteri. Yang akhirnya nak tanggung kenaikan toll? Kita la, rakyat biasa yang kena bayar toll dengan duit sendiri.
Kalau nak buat lebuhraya tu kos dia mahal, buat la sikit-sikit. Daripada gunakan duit petronas untuk lumba kereta formula satu kat Sepang tu, kenapa tak gunakan duit tu untuk buat lebuhraya? Dari gunakan lebih 3 billion ringgit untuk buat Twin Tower KLCC, kenapa gunakan duit tu untuk buat lebuhraya? Dayabumi pun tak pernah penuh, kenapa nak membazir buat KLCC? Dari gunakan 20 billion untuk projek Putrajaya, kenapa tak buatkan je lebuh raya? Litar Sepang, Twin Tower dan Putrajaya tu, berapa ramai sangat rakyat dapat faedah darinya jika dibandingkan dengan lebuh raya?
Tapi, rakyat kita macam tu la, bila ada isu macam ni, semua marah. Tapi, lima tahun lagi, parti itu jugak la yang dipilih untuk memerintah. Sebab tu menteri dan orang politik parti pemerintah tak pernah nak kisah dengan rakyat. Asalkan perut mereka penuh dah la, pegi persetan dengan masalah rakyat. Tak percaya? Tengok ketua pembangkang kat DUN Kelantan. Rakyat susah payah dengan banjir, dia pegi bercuti keluar negara. Dalam dewan dia la hero, luar dewan entah kat mana dia ni. Tapi, orang macam ni pun, parti dia tetap pilih dia jadi ketua? Kenapa? Kerana rakyat kita ni cuma pandai cakap kat kedai kopi, tindakan, lambat sikit la.
Tak guna demonstrasi kat jalan raya atau kat lebuh raya, sebab pasukan yang diamanahkan jaga keselamatan rakyat dan jaga undang-undang tu, cuma ikut arahan ketua dia, bukan ikut undang-undang sangat pun. Ketua dia ikut cakap menteri dan orang politik. Jadi, yang susah dan rugi nanti, rakyat jugak. Rakyat yang vokal sikit, mereka sumbat dalam penjara, lebih teruk kat Kemunting. Alasan, mengancam keselamat negara. Yang buka ruang udara Johor untuk tentera Singapura tu tak ancam keselamatan negara ke? Yang tuduh PERKIM bantu PULO tu tak ancam keselamatan negara ke? Yang rasuah bila beli peralatan keselamatan negara tu tak ancam keselamatan negara ke?
Akhirnya nanti, kita terpaksa percaya, orang politik ni semuanya sama saja. Macam ayam, bertelur sebijik riuh sekampung. Berkokok dia la hero, tapi ekor bergelumang najis. Memamg ada orang politik yang baik, yang berjuang untuk rakyat, tapi golongan teruk ditekan dan tak akan kemana mereka ni. Paling jauh mereka boleh pergi, penjara atau Kem Kemunting. Sekarang ni dah makin ramai yang tak percaya kat orang politik, tak percaya pada perjuangan mereka, tak percaya pada cakap-cakap mereka dan tak percaya pada pilihanraya.
Tapi, apa pilihan kita untuk berubah? Yang ini, kena la tanya ulamak yang benar-benar ulamak, kerana mereka inilah pewaris kebenaran yang sebenarnya. Mereka inilah harapan untuk membawa kita kejalan kejayaan sebenar. Jangan pulak salah mintak nasihat dari orang yang cuma nak jaga perut mereka, macam tok mufti wilayah, atau bekas imam calon wakil rakyat yang kalah pada isteri bekas penolong ketua parti pemerintah tu. Yang dua ni buat perabih beras je.
Bila kita nak hadapi masalah yang libatkan orang politik, tak perlu bising-bising, sebab kita tak akan menang punya. Kita buat la apa yang kita rasa untung untuk kita (untung dunia dan untung akhirat). Kalau kita benci bayar toll, kita guna jalan lain. Benci bayar cukai sebab duit kita dibazirkan untuk benda tak berfaedah, kita buat benda lain yang tak perlu bayar cukai atau cuma bayar sikit je (banyak cara kalau kita betul-betul belajar - kalau tak tahu pegi la belajar), benci dengan rancangan TV, tak perlu la tengok TV. Kita kena yakin, akhirnya nanti yang akan tolong kita bukan orang politik, bukan kerajaan, bukan menteri, bukan pemuda yang hilang kepemudaan tu, tapi yang akan tolong kita semua, Yang Maha Esa. Jadi, kita ikut la segala peraturan Yang Maha Berkuasa, Raja segala raja, peraturan manusia ni, semuanya tak berapa penting.
Wednesday, December 15, 2004
Lagi Kisah Manusia yang tak habis.....
Ada dua jiran baru masuk, sorang kat kiri, sorang kat kanan. Sorang dekat, sorang jauh. Yang sorang tu, masih bujang, sorang lagi dah ada family. Baru je tak sampai seminggu masuk, dah kena tangkap, ada skandal. Nak but hal pun kenapa buat dekat rumah? Pi la jauh sikit. Isteri tu masih dalam pantang, jaga la emosi dia sikit, kalaupun tak nak jaga maruah dan larangan agama sendiri. Yang perempuan tu muda lagi, student pulak tu. Punya la ramai yang lebih muda, kaya dan bergaya kat apartment tu, yang dah kahwin dan tak berapa kaya dan tak bergaya tu jugak yang dia nak. Ha.. lantak korang la. Penghuni lain dah jalankan tanggungjawab, cegah maksiat, sekarang ni pegi la settle dengan Yang Maha Pencipta, sebelum terlambat. Tapi kalau dah bintik hitam dalam hati tu terlalu banyak, ada harapan ke nak bertaubat? Semoga Maha Pencipta memberikan mereka hidayah.
Lagi satu kes, majikan dengan orang gaji. Ini pun satu level, jiran selang beberapa unit je. Jiran selalu nampak mereka bermesra kat dapur, tapi isteri dia tak tahu. Ingat kan gurau senda biasa, sebab masa tu isteri pun ada dalam rumah. Bila kes meletup, rupanya dah terlambat. Dah kena ratah rupanya. Yang si suami tu, jangan kan ribut, angin kat balcony rumah dia tiup pun boleh tumbang. Tapi, hebat pulak dia bila bab-bab macam ni. Bila isteri tahu, rupanya sijil nikah pun dah ada. OK la tu, dah ratah budak tu, dia ambil tanggungjawab. Tak kisah la dari mana budak tu datang, kalau ye pun tak boleh tahan dengan budak tu, buat la cara betul. Agama yang suci ni ada cara dan peraturan, susah sangat ke nak ikut? Sekarang ni rumah sunyi, tinggal la si isteri dengan anaknya. Suami entah kemana. Isteri baru masih kat seberang, belum balik sini lagi.
Bila check dua-dua kes kat atas, ada satu persamaan. Bila orang lain pegi sembahyang jumaat, kedua-dua suami tu uzur. Tak kan la uzur setiap minggu kot? Itu la, bila suruh sembahyang, kita cakap kubur lain-lain. Bila kes ni jadi, kita cakap orang sembahyang pun buat maksiat jugak. Itu la manusia, yang dia ingat apa dia dapat kat dunia. Asalkan dia lepas kat dunia, sudah la. Kat akhirat nanti, dia macam tak percaya je yang dia nak kena jawab depan Maha Pencipta.
Lagi satu, kisah seorang kawan. Seorang yang berkelulusan tinggi, banyak duit, ada jawatan tinggi, ada ramai kenalan, ada pengaruh, ada segalanya, termasuk isteri yang hebat, juga berkelulusan tinggi, berjawatan tinggi. Bila bercakap, merekalah yang paling hebat, tak ada orang lain sehebat mereka. Soal agama juga hebat.
Tapi bila kena uji, kekayaan harta dan bukan harta ditarik sikit, mudah sangat mengeluh. Bila kena batang hidung sendiri, mula bertanya apa salah yang mereka buat hingga jadi macam ini? Kalau kita tanya atas tikar sembahyang, sujud padaNya, minta ampun, minta tunjukkan apa salah kita, minta petunjuk dan hidayah, itu kan elok? Ini, kita tanya pada manusia, seolah-olah kita ni sempurna. Nak bagi tahu boleh, tengok je cara cakap mereka, cara hidup mereka dan anak-anak mereka, tak payah tanya orang lain. Yang selalu pegi belajar kat Masjid tu, faham ke tidak? Lupa ke macam mana kita layan ibu sendiri dan ibu mertua? Lupa ke macam mana gaya hidup anak-anak? Dan panjang lagi la "checklist" tu
Kisah manusia ni macam tu la, tak habis. Semoga sebelum nafas terakhir dilepaskan, kita dapat hidayah, sempat minta ampun, sempat taubat. Semoga kita ni dalam golongan mereka yang beruntung, berada dalam golongan yang diberi hidayah dan keampunan. Kita ni sentiasa buat dosa, moga-moga kita diampunkan.
Ada banyak lagi kisah manusia ni, esok sambung lagi, kalau sempat.
Tuesday, December 14, 2004
Cerita yang tak habis
Yang lebih terkehadapan, kisah negatif. Yang positif macam tak laku. Yang menarik, bila ada yang kena hentam, yang kena puji macam ada yang tak kena, macam tak menarik. Itulah manusia.
Dalam surat khabar, yang lebihnya kisah orang politik dan kisah-kisah disekitar orang politik. Orang mana nak kena hentam hari ni, yang mana nak kena puji, yang mana nak kena pijak, yang mana nak kena sanjung, dan macam tu lah, tak akan habis. Bila namanya manusia, akalnya mungkin panjang, tapi iman entah kat mana. Kelulusannya mungkin banyak, tapi amalnya entah kan elok entahkan tidak. Bila namanya arus perdana, takkan habis yang namanya haluan kiri tu kena hentam. Macam tak ada langsung kebaikan yang namanya haluan kiri tu buat. Kalau namanya arus alternatif, banyaklah kemungkaran yang namanya perdana tu yang dibongkar. Tapi, yang baiknya, tetap disiarkan juga.
Nampaknya, yang arus perdana tu macam dikuasai oleh manusia yang lebihnya duit, lebihnya emosi, lebihnya nafsu, tapi yang kurangnya iman, akal dan kewarasan. Cuma, yang arus kiri dan alternatif yang baru keluar dari arus perdana lima enam tahun dulu tu, ramai yang dah balik semula ke arus perdana. Yang masih dengan arus kiri dan pilihan ni, ramai lagi yang kiblatnya tak jauh dari arus perdana. Mungkin, daki dan titik hitam yang dulu tu masih tebal lagi.
Akhirnya, rasa macam tak rugi apa-apa dan tak hilang apa-apa bila dikira-kira dan diimbas semula, dah lebih enam tahun tak beli surat khabar milik arus perdana.
Ini lah kisah surat khabar dan manusia arus perdana lawan manusia dan surat khabar arus pilihan. Lepas ni ada banyak lagi kisah manusia. kalau sempat tulis lagi. Cuma tak tahu bila, idea tak datang masa "free time". Idea datang tak tentu masa, sebab idea tu datang dari Maha Pencipta, yang tak ada yang lebih tinggi darNya.
