Tuesday, October 04, 2005

Mangsa Denggi - Takziah untuk Hafizah

Awal pagi ni masa check e-mail, seorang kawan lama, classmate masa belajar dulu, menyampaikan berita sedih. Suami pada seorang rakan meninggal dunia akibat demam denggi. Beliau menjadi mangsa terbaru dalam senarai mangsa denggi. Juga mangsa terbaru dari Pulau Pinang. Allah lebih tahu kenapa disaat kita makin dekat untuk menyambut ramadhan ini, maka suami kepada Hafizah yang dipilih untuk bertemu denganNya.

Terima kasih Azlan, yang mula menyampaikan berita ni. Terima kasih June kerana copy and paste berita ni dan e-mail pada semua. Terima kasih Nurul sebab confirmkan berita ni. Takziah untuk Hafizah dan keluarga. Semoga Hafizah dan lima anaknya bersabar diatas kejadian ini. Yang pergi tetap akan pergi, kita yang tinggal ni, hidup mesti diteruskan.

Beberapa minggu (mungkin bulan) yang lepas, aku sempat tengok cerita Neon di Astro Ria, siaran ulangan tengah malam. Cerita ni berkaitan dengan seorang lelaki yang ditimpa pelbagai musibah diawal malam, dan mendapat segala kebaikan dan kelebihan bila menjelang subuh. Moral cerita ini, apa sahaja dugaan yang menimpa kita, pasti ada sebabnya. Jadi bersabarlah dan terusklan hidup kita. Bila dengar ada rakan yang kehilangan orang tersayang macam Hafizah ni, barulah mula kita bercakap soal re-union. Barulah ada yang nak buat database kawan-kawan. Mulalah kita bertanya khabar, mencari nombor talipon, nak hubungi kawan yang telah lama hilang, mula bercakap projek ‘jejak kasih’. Inilah kita, dan inilah manusia. Insan itu maksudnya pelupa dan yang terlupa itu perlu diingatkan.

Biarlah macam mana sekali pun keadaannya, biarlah apa sahaja sebabnya, yang penting apa selepas itu? Bila ada rakan ditimpa musibah, kita rasa simpati, tapi apa selepas ini? Mungkin telah sampai masanya untuk kita melihat apa yang kita cari dalam hidup kita sebenarnya. Mungkin telah sampai masanya untuk kita berfikir semula, penting sangat ke kawan-kawan ni pada kita? Apakah kita cuma sibuk ingat kawan bila mereka susah? Apakah kita cuma ingat kawan bila dengar cerita sedih mereka? Itu masih baik, dari kita cuma ingat kawan bila mereka senang dan kita susah.

Beberapa hari ni, aku dapat ramai kawan baru. Mereka ni dari kategori muda, riang dan mudah diajak berbual. Mereka mungkin generasi baru yang lebih terbuka pemikiran mereka, lebih matang dan punya tujuan hidup. Aku suka berkomunikasi dengan mereka ni. Ramai kawan baru ni aku dapat dalam internet. Lebih mudah berkomunikasi dengan mereka sebenarnya. Tak kenal siapa mereka, tak tahu dimana mereka tak tahu apa mereka buat. Yang aku dapat cuma nama yang mereka publish dalam internet. Hubungi mereka dan mula berbual dengan mereka yang sudi menyambut salam aku. Bukankah lebih mudah begitu? Kalau jujur yang kita beri, maka jujurlah yang kita dapat. Kalau songsang niat kita, maka songsanglah yang kita dapat. Kita tak perlu jumpa bersemuka, tak perlu tahu detail mereka tak perlu tahu asal usul mereka jika sekadar nak bertukar fikiran, sekadar nak belajar beberapa perkara baru yang kita tak tahu atau kurang pasti, atau jika sekadar nak melepaskan rasa tekanan kerja dan tekanan hidup. Terima kasih untuk semua rakan-rakan baru aku, tak kira siapa pun mereka ni semua.

Esok dah nak mula puasa. Tahun ni semoga puasa kita lebih sempurna dan lebih baik dari tahun lepas. Kalau dulu kita tarawikh 8 rakaat, mungkin tahun ni 20 rakaat. Kalau dulu baca al-Quran satu muka sehari, tahun ni mungkin satu juzuk sehari. Kalau dulu banyk belanja kita masa puasa, tahun ni mungkin lebih amalan kita. Kalu dulu kita dah baik, biarlah tahun ini lebih baik lagi.

Selamat berpuasa untuk semua.

No comments: