Friday, March 27, 2009

Nafas dan langkah ini bukan milik mereka :-)





Hidup ini tidak terhenti dengan benci mereka, dan tidak juga jauh kedepan dengan kasih mereka. Hidup ini tiada basahnya hanya kerana kutukan sedikit itu, dan tidak pula panas dengan sedikit puji-puji. Hidup ini bukan kaki mereka yang langkahkan, bukan juga tangan mereka yang tahan-tahan.




Yang diberi itu, buat bekal sendiri dikemudian hari, bukan buat makan untuk hari ini. Yang diberi itu, bukan harapnya untuk dapat ganti dari yang menerima, tapi buat bekal kala berjumpa yang Maha Pencipta. Hak kita apa yang telah digunakan, bukan apa yang disimpan sendiri, itu mungkin bertukar tangan dikemudian hari, atau mungkin juga diambil semula oleh Yang Maha Pemberi dan Maha Pengasih.



Kisah mereka yang suka mencari mana silapnya, mana kurangnya, bukan perkara baru, hingga mereka lupa nak berkata, apa yang baru dan apa yang perlu. Itu kan suara mereka, maka hak mereka untuk terus berbicara. Cakap lah apa sahaja, tapi sekali cakapnya mula berbalik terbalik, maka itulah yang terakhir dia menerima "I trust you" dari aku. Tidak pernah aku tidak percaya sesama manusia, tapi belum pernah juga dapat percaya semula sekali percaya itu telah hilang.


Boleh saja kita berbicara seperti dulu, tapi pokoknya, buluh yang enggan membongkok dari mulanya, mampukah dibengkokkan bila dah selesa dengan buluh dan miangnya? Buluh ini masih boleh dibengkok, tapi perlu ditebang dan direbus dengan air panas. Bukan kerja aku membengkok buloh, bukan juga kerja aku melentur rebung, tugas aku menyiram baja. Kalau tanahnya dah mati, tak subur, pokok apa yang boleh tumbuh? Maka itu, lebih suka aku pada pokok kaktus, atas batu pun boleh tumbuh.


Bukan tak simpati pada manusia seperti ini. Bukan tak mampu nak berdoa untuk mereka. Tapi, itulah lorong gelap dan kelam yang mereka pilih. Cakapnya berbeda antara mulut dan yang didalam dada. Hidupnya banyak dikawal oleh perut dan yang dibawah perut. Depan nampaknya seri yang manis, belakang seolah pokok yang akhirnya nanti bakal reput menjadi tanah. Hujan pada insan lain, rahmat dari Illahi. Pada mereka ini, hujannya peluh sebab beraksi umpama Tuhan tidak pernah melihat hamburan air itu pada longkang baru yang kian tersumbat tak terjaga lalu busuknya sebelum tiba masa.


Bukan tak simpati, bukan juga tak pernah diberi tahu, bukan sekali, bukan juga selindung-selindung. Tapi, ada kalanya, perlu juga menyerah bila hidayah Allah belum kunjung tiba. Mungkin masanya belum ada atau mungkin juga masa itu masih dalam perjalanan. Bak kata ibu suatu ketika dulu, senyumlah, sebab senyum itu boleh merawat luka dan cedera yang paling parah, jika senyum itu ikhlas dari jiwa dan iman. Tapi, jangan senyum sebab yang lainnya, sebab senyum itu lebih tajam dari pedang, lebih besar cederanya dari dihempap gunung dan ombak tsunami. Hebat ibu, walau sekolah nya setakat darjah rendah-rendah.


Dinding kalau dipaku setiap hari, lama-lama, kesannya besar dan kotornya sukar hilang. Bila daki dah mula menghitam, sukar sekali nak dicuci, walaupun guna sabun sekuat SA8 atau LOC. Kalau ditutup dgn cat putih sekalipun, yang putih serinya hanya diluar, yang didalam masih begitu juga. Akhirnya, tak mengapalah. Serahkan kembali kepada Yang Menghantar. Maka kerja Dialah yang mengatasi segalanya. Untuk percaya kembali, mungkin yang lain boleh, tapi aku perlu jalan yang lain.


Kini, tugas ini juga belum selesai. Indah sekali pelajaran ini. Mungkin yang akan datang itu telah makin hampir, insyaAllah. Mungkin ada tersangkut dimana-mana, sebab arah jalan yang diberi tersilap simpang atau mungkin juga terlepas pusingan dan bulatan. Ada yang nampaknya telah makin hampir, rupanya bukan simpang ini yang dipilih. Agaknya lorong ini terlalu berliku, gelap pulak tu, manakan mereka yang selalu bayar toll, mahu mengikut jalankampung yang kecil dan lecak ini. Terlalu remeh agaknya lorong ini, hingga lupa bertanya, apa sebenarnya dihujung lorong itu.


Tiada emas dan permata, tiada juga permaidani merah, tiada gadis manis maupun jejaka tampan, tiada tilam empuk, tiada wang berjuta, tiada kemewahan, tiada bilik berhawa dingin buat melelap mata dan bercanda, tiada semua keseronokan itu. Yang ada cuma jiwa-jiwa kosong yang perlu diisi, yang ada cuma jiwa-jiwa sakit yang perlu diubati, yang ada cuma insan-insan kerdil yang tiada kepentingan untuk dunia metropolitan dan dunia bangsawan. Yang ada kepuasan yang melebihi jangkauan material dan kebendaan.


Sebab itu lah agaknya, belum ada yang sanggup menyinggah dipondok menanti ini. Tapi tak mengapalah, bukan tugas aku membuat orang berhenti dan mengikuti lorong ini. Tugas aku mencari mereka yang ingin mengikut lorong ini, dan membimbing tangan-tangan layu dan longlai itu, untuk sama-sama bejalan, dan berlari, selaju dan sejauh yang mereka inginkan, insyaAllah. Kabulkanlah permohonan hambamu ini, wahai Yang Maha Agung. Aku yakin, pasti akan ada mereka yang berjiwa intan dan emas yang bakal kesini, untuk bersama dengan perjalanan ini. Pasti ada yang faham mengapa lorong ini terlalu banyak likunya. Pasti ada yang akan menyapa, bertanya apa boleh ikut sama merantau ikut lorong ini. Mereka belum nampak pondok ini, sebab itu lorong ini terlalu sukar buat mereka. Mungkin begitu...........

No comments: