Apa yang kita cari dalam hidup? Ilmu, harta, kekayaan, kesenangan, keseronokan? Atau apa? Apa pun yang kita cari, semuanya betul. Sebab ini adalah kehidupan sendiri. Jadi apa sahaja yang betul untuk kita, betullah jadinya. Cuma, kalau yang betul untuk kita tu, betul juga pada Tuhan, maka bahagialah hidup di dunia dan akhirat. Kalau yang kita cari tu tak betul pada Tuhan, cuma betul pada kita, bertaubatlah selagi masih ada masa. Takut-takut nanti, sengsara hidup selepas ini.
Ada manusia yang egonya terlalu tinggi. Mungkin sebab harta dia lebih sikit, ilmu dia lebih sikit, kesenangan dia lebih sikit, jawatan dia tinggi sikit dari orang lain, dan kurnia Tuhan pada dia lebih sikit pada masa ini, maka egonya juga lebih sikit. ia terlalu alpa untuk fikir fasal orang lain. Yang penting dia dapat, dia lebih. Orang lain, pandai-pandai sendiri lah. Kadang-kadang sampai lupa, yang hidup ni cuma sementara. Tak lama lagi, dah nak pindah "alam". Masuk ke"bilik transit" sebelum sampai ke dewan menunggu, untuk dihantar ke destinasi sebenar. Semoga Allah menyelamatkan dia disini dan disana. Kesian ya, kalau dah senja, masih main bola hingga lupa waktu solat dah masuk.
Seorang lagi manusia, juga egonya tinggi. Yang ini, mungkin sebab nak jaga nama. Banyak yang Tuhan dah ambil balik dari dia. Tapi masih lupa nak letak dahi di sejadah. Harta dah ditarik balik, dulu banyak sekarang dah hampir tiada, kawan-kawan makin menyepi, ilmu dah makin kurang, kesihatan makin menurun, keluarga makin mengecil, segalanya nampak makin kurang. Tapi ada satu yang makin besar - cakapnya dan angan-angannya. Kesian juga pada manusia ini. Semoga sebelum nafas terakhir disedut dan dihembus, sempatlah dia bermunajat di sepertiga malam. Semoga Allah menerimanya sebagai insan yang bersih dan suci. Semoga dia tersentak dengan segala yang hilang itu sebagai peringatan dari Tuhan atas segala peri lakunya selama ini.
Macam-macam kisah manusia yang boleh jumpa, terjumpa dan datang bertimpa dalam hidup ini. Kesian ada, sedih pun ada, malas nak fikir pun ada. Tapi, manusia ni macam tu lah. Yang penting, kena tanya diri sendiri, aku ni macam mana? Dalam golongan mana? Dengan dosa yang bertimpa, amal yang tak seberapa, layak ke aku mendapat rahmat dari Nya? Layak ke aku masuk kesyurga Nya? Mampukah aku menahan azab derita didunia dan akhirat (nauzubillah).
Didunia yang sementara ni, ada banyak tugas nak kena buat. Lagipun, bukan lama sangat, berbanding kehidupan selepas ini yang tiada lagi matinya. Yang sukarnya, sebab mati hanya sekali, tapi kehidupan selepas mati tu, hakiki. Bersediakah aku untuk kehidupan selepas ini?
Kalau ikut pesan Nabi, tentu selamat. Nak fikir pasal orang lain yang tak pernah pun fikir pasal diri dia, nak buat apa ya? Tapi, sebelum tu, ada satu tugas nak kena buat dulu, sebelum angkat kaki- tugas mengingatkan sesama manusia. Nampak senang, tapi tak senang. Tapi yang ni namanya pun tugas. Kena buat juga. Hati manusia tu, Tuha yang pegang. Tugas kita mengingatkan, selebihnya, Tuhan yang akan tentukan.

No comments:
Post a Comment