Ada dua cuti umum yang aku tak bercuti.
31 August, setahun lepas aku ambil SPM, dan aku telahpun berada di ibu kota untuk sambung pelajaran aku, hari lahir adik aku yang terakhir dalam keluarga aku. Lahir dengan sedikit kelebihan fizikal yang diberi Ilahi pada dia. Untuk itu, selama dua tahun dia berulang alik ke hospital kuala lumpur. Ibubapa aku dah jadi muka yang sangat familiar di hkl, terutamanya di institut kaji saraf. Adik aku sihat, dia tak sakit, tapi ketumbuhan itu mesti dibuang, untuk masa depan dia juga. Bila umurnya dua tahun, barulah pembedahn boleh dijalankan. Allah itu maha penyayang, ditakdirkan aku ketika itu tinggal cuma 10 minit jalan kaki dari hkl. Senang untuk aku melawat. Cuma, kekangan ekonomi membuatkan aku tak mampu beri lebih. Aku tahu apa yang ibu bapa aku tempuh untuk semua ini. Kalau sekarang, mungkin jalan ceritanya berbeza. semua adik beradik dah kerja, kecuali yang nombor lima.
Lepas bedah, adik aku kembali normal, kecuali tahap fizikal dia agak mendadak naiknya. Dia kurang aktif dan beri kesan pada kebolehan mentalnya. Tapi, dia masih boleh pegi sekolah, belajar macam orang lain, hidup macam orang lain. Yang pastinya, kasih sayang ibubapa aku pada adik aku ni, tak pernah kurang, tak pernah berbeza. Hebat sungguh ibu bapa aku. Mungkin aku belum sampai ketahap itu dalam mendidik anak-anak aku.
19 April, sewaktu cuti umum dinegeri asalku, 11 tahun selepas adik aku dilahirkan. Satu lagi cuti yang tempat aku kerja tak cuti, aku kena ambil cuti untuk balik kampung dan dikampung, aku sekeluarga tak boleh cuti. Jam 3.30 pagi adik aku dikhabarkan bangun membersihkan dirinya, buang air besar dan air kecil. Jam 4.00 pagi adik aku pergi menemui Maha Pencipta dan jam 4.15 pagi aku menerima panggilan talipon dari adik ipar aku mengkhabarkan berita ni.
Aku jadi tergamam, talipon abang aku, 15 minit kemudian aku telah memecut laju kereta aku untuk ambil abang dan keluarganya. Tak perlu tunggu hingga 4 jam untuk aku menamatkan perjalanan sejauh hampir 400 kilometer. Biasanya aku ambil lebih 5 jam untuk perjalanan sejauh ini. Aku tak suka pecut kereta.
Aku tak menangis, begitu juga abang dan adik-adik yang lain, kecuali adik perempuan aku yang seorang tu. Pasangan aku juga tak menangis. Kakak ipar dan adik ipar aku tak tahan air mata. Aku dan adik beradik lain kesiankan ibu bapa. Kalau kami menangis lagi susah nak menenangkan ibu bapa aku. Mereka tak menangis, tapi mata mereka menunjukkan kesayuan yang amat sangat. Lepas solah zohor, jenazah adik selamat dikebumikan. Satu kampung datang ziarah. Adik aku ni popular, sebab saiz badan dia yang orang lain tak ada. Kawan-kawan dia ramai juga yang datang ziarah, sebab dia ni tak ada musuh disekolah dia. Cikgu dia juga ramai yang datang ziarah, sebab dia budak baik walaupun bukan budak pandai.
Sekarang dah lima tahun kisah ini berlalu. Kubur adik masih bersih kerana ayah aku rajin ziarah. Wajah adik masih jelas terbayang dimata dan hati abang-abang dan kakaknya. Dia budak baik dan sebab itulah agaknya dia dijemput dulu menemui Penciptanya. Dia cuma ada 11 tahun untuk melihat dunia ini. Dia pergi sewaktu dosa pahala nya belum lagi dikira dalam "akaun"nya sendiri. Alangkah bertuahnya adik dipilih untuk semua itu. Aku lihat ibu bapa aku tak merintih dan tak menyesal. Mereka redha, semua ini dugaan untuk mereka. Dan aku yakin, ini semua juga kerana Allah sayang pada mereka.
Untuk adik, kita akan bertemu lagi. Kami akan kesana juga akhirnya. Cuma, adik yang datang kemudian pergi dulu mendahului kami. Adik tak perlu risau apa-apa, tapi kami masih terlalu banyak yang perlu dibuat, sebagai bekalan untuk menuruti jejak adik.
Wednesday, August 31, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment