Tsunami telah meninggalkan kita, dan ia mungkin datang lagi, atau mungkin tidak akan datang lagi. Kita tak tahu, ini bukan kerja kita, ini kerja Yang Maha Kuasa. Berita dari Phuket sebelum Tsunami hadir lebih kurang " di pagi yang disinari matahari terang, wanita berjalan tanpa menutupi dadanya ". Ini lah perilaku manusia ditepi pantai. Di Acheh dan Sri Lanka, dua kawasan yang perangnya tak kunjung sudah. Di Pantai Miami dan Gurney Drive di Pulau Pinang, dua tempat yang happening di negara kita. Lantas, Dia menunjukkan kekuasaanNya dan mungkin juga kemarahanNya. Apakah ada lagi daya kita untuk menentang? Kita ini cuma insan kerdil, yang sering kali ego dengan sedikit nikmat yang diberikan kepada kita.
Untuk menunjukkan simpati negara kepada semua mangsa, maka dibatalkanlah semua acara sambutan tahun baru, dan digantikan dengan doa selamat. Maka benarlah kata sesetengah pihak, kita cuma ingatkan agama masa lahir dan sekali lagi masa mati. Mala petaka ini, peringatan kepada yang masih hidup, apakah kita perlukan peringatan ini setiap tahun? Nauzubillah.
Kita biasa membaca sejarah lama, sejarah manusia ditelan bumi dan ditelan lautan, kisah ribuan manusia ditenggelami banjir atas kesilapan mereka sendiri, kisah bandar-bandar lama kini tempatnya didasar laut dan ditutupi bumi dan pelbagai kisah, yang kejadiannya diluar batas kemampuan kita.
Kiranya umur bumi ini panjang, maka di satu ketika nanti, akan tertulis dalam sejarah, pada 26 December 2004, bersamaan 14 Zulkaedah 1425, bumi Acheh, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia dan beberapa muka bumi yang lain, ratusan ribu penduduknya ditarik nyawa mereka sekali gus. Itulah antara kekuasaan dan kebesaran Illahi. Sebabnya, mungkin akan timbul pelbagai teori. Namun sebab yang sebenarnya, hanya Dia yang Maha Mengetahui, kerana gempa bumi dan tsunami itu, Dia yang hantar, bukan daya kita untuk menciptanya.
Tahun 2004 berakhir hari ini, tahun 1425 masih berbaki 40 hari lagi. Kita semakin tua, bumi ini juga semakin tua. Malangnya, fikiran kita tak sematang usia kita. Maksiat dan pembuat maksiat masih disanjung. Kebajikan dan penyeru serta pembuat kebajikan terus ditekan. Kita senang sekali dengan pesta-pestaan, senang sekali dengan Penang, Fullstop, dan itulah aganya kenapa tsunami ini bila hadirnya ke Penang dan fullstop disitu. Kita masih leka, masih lalai. Kita mengundang bencana, kita lupa untuk kembali kepangkal jalan.
Soalnya, sampai bila?
Friday, December 31, 2004
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment