....kita pun demam lah lagi dengan 'demam' bermusim ini. Kini demamnya agak ketara, dengan dua yang diatas berbanding dengan 12 lagi yang dibawah. Ini bukan salah sesiapa, cuma keadaannya dah begitu, cuma undiannya begitu, cuma auranya begitu.
Bukan kisah itu yang terlalu penting, tapi pengajarannya yang penting. Calon yang paling atas tu (ada yang panggil pelajar) masuk pada minggu yang orang lain dah mula buat konsert. Masuknya ada ciri-ciri dramatik, lepas tu tak tunggu lama untuk terus naik keatas. Persembahan pertamanya agak mengecewakan, lepas tu recover pada persembahannya yang kedua. Ramai yang berkata vokalnya biasa saja, tak ada kelainan, tapi 'auranya' menyerap segenap rumah dan hati penonton.
Maka disinilah bermula pelajaran untuk yang mahu berfikir. Dalam apa jua forum, diTV dan juga di internet, termasuklah di media yang lainnya, pelbagai komen diberikan. Yang menyokongnya, memberi komen yang sedap mata memandang, yang sejuk telinga mendengar. Yang tak sokong, pelbagai salah dicungkil, dari yang kecil hingga lah yang besar, yang relevan dan tidak relevan, kalau boleh segalanya ingin ditelanjangkan berkaitan calon yang seorang ini.
Begitulah pelajaran untuk yang ingin berfikir, jangan ingat bila duduk diatas tu senang dan mudah. Suka kita bila dipuji, tapi ingat, segala jarum, pisau, pedang semuanya juga sedia menanti kita.
Pelajaran kedua untuk dipelajari, yang sentiasa di 'ingat' oleh kawan dan lawan hanya bila kita nombor satu. Yang nombor dua, kita ingat juga, begitu juga yang nombor tiga dan empat, tapi semua tu tak tahan lama dan tak berapa kuat 'aura'nya. Yang nombor satu ni lain sikit. Kita masih ingat jaguh kolam renang semasa tahun 80an, kita masih ingat raja bola sepak dunia ditahun 50an dan 60an, kita masih ingat juara 100 meter pecut diawal abad ini. Itulah kekuatan mereka yang dapat nombor satu. Diingati segala kejayaan mereka, tidak kurang juga segala jatuh dan seliuh mereka. Jarang sekali kita berbicara atau mengambil contoh - baik dan tidaknya, keatas mereka yang dapat nombor dua dan kebawah. Bila kita nombor satu memang seronok, kawan ingat segala hebat kita, tapi lawan akan ingat segala silap dan seliuh kita. Inilah lumrah alam.
Pelajaran ketiga, yang kita dapat, masih ramai sebenarnya manusia yang pesimis, tak ada keyakinan diri dan rasa 'inferior' dengan diri sendiri. Bacalah segala kutukan dan kritikan 'menjatuh' yang diberikan oleh mereka yang tak se'bulu' dengan yang nombor satu ini. Mereka hanya suka mencari kelemahan si juara ini. Jarang sekali mereka mengakui kekuatannya, belajar dari kekuatan itu dan seterusnya, memintas jaguh ini atas kekuatan dan kelebihan sendiri. Mereka yang 'tewas' ini, hanya ingin melihat kejatuhan orang lain, ingin menang bukan kerana dia kuat, tapi lawannya tersilah langkah. Inilah juara yang tak akan bertahan lama, tak ada kekuatan sendiri, tak yakin pada diri sendiri. Pokoknya, kalau nak menang, menanglah atas kekuatan dan kelebihan diri sendiri, bukan atas kelemahan orang lain. Jaguh sebenar adalah mereka yang jatuh 70 kali, bangun semula dan berkata 'kini datang nombor 71'. Lihatlah mereka yang diatas dari dua demam yang lalu. Mereka melalui jatuh bangun mereka dan mereka berubah dan akhirnya mereka menang atas kekuatan mereka.
Kali ini masih terlalu baru untuk dihakimi. Yang suka berpada-padalah, yang benci juga berpada-padalah. Perjalanan masih jauh, masih banyak yang perlu dilalui. Memuji bukan menyokong, menegur bukan membenci, itulah yang sepatutnya dibuat. Kita ini insan yang juga buat silap. Belajarlah dari silap sendiri dan silap orang lain. Jaga kata-kata, jaga tata susila, tak rugi jika berbudi, tak untung jika terus mengeji. Kita hanya insan, dan Dia yang punya kata pemutus. Berdoalah, semoga kita semua menjadi juara!
Tuesday, June 21, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment