Tuesday, November 18, 2008

Bila sakit lama kembali menyapa.....

Sakit ni anugerah Allah. Bukan semua orang diberi dugaan dan anugerah ini. Kadang-kadang, bila sentiasa sihat, terlupa untuk melihat tingginya langit atau indahnya bumi. Kadang-kdang bila sentiasa sihat, terlupa sihat itu anugerah Allah dan hidup ini satu amanah.


Bila sakit lama kembali menyapa, terkenang orang lain yang juga sakit. Syukur, sebab sakit ini tidak sehebat sakit orang lain. Sakit ini masih belum diiringi santun sakit kritikal seperti beberapa kawan yang lain. Sakit ini bakal sembuh dengan beberapa pil dan tidur yang cukup, serta emosi yang kembali tenang.


Bila sakit lama kembali menyapa, dan dikala ini, terkenang beberapa teman yang telah tiada. Melihat wajah mereka diambang badan hampir berpisah dengan nyawa. Sayu mata melihat, pilu melihat air mata mereka yang ditinggalkan. Namun, kemudiannya, mereka pergi juga. Tinggal yang masih bernafas, mengenang kisah lama, mengenang saat indah, suka dan duka. Mereka yang pergi, telah aman disana harapnya. Yang tinggal, masih bergelut dengan dunia yang makin kepanasan. Dan rasanya sakit lama ini kembali menyerang dan sakitnya, makin kuat.


Sayangnya, diketika ini, tempat untuk meluah kisah sakit ini, mungkin telah tiada, mungkin tiada sekejap, mungkin juga selamanya. Mungkin ini sebabnya, sakit ini datang semula dan sakit ini makin kuat menyerang dan makin kuat kesannya. Ada ketikanya, mungkin sakit ini, serangnya makin merata dan makin melata.


Lihat sekeliling, lihat mata-mata yang ada, mereka yang disisi, hati yang masih terbuka, jiwa yang mengharap. Lihatlah semuanya. Yang dah pergi, tak mungkin kembali. Yang menyepi, pilihan sendiri yang tak mungkin mampu diubah dan tak mampu diubati. Bangunlah, dihadapan sana, ada jiwa, ada hati, ada nyawa yang perlu dibelai. Yang perlu diubati. Yang perlu disayangi. Yang pergi, teruslah sayangi mereka. Yang menyepi, teruslah mengasihi mereka. Yang dihadapan, mereka akan terus berharap, penuhilah jiwa mereka.


Sakit lama bila menjelma, biarkanlah. Sakit dan ubat itu, datangnya dari yang sama, dari Yang Maha Esa. Sujudlah padaNya, kerana sakit itu, pastinya pergi satu hari nanti. Mungkin pergi sewaktu dada berombak, nafas turun naik, mungkin juga pergi, dengan hembusan nafas yang terakhir. Namun, sakit itu pasti akan pergi. Hidup ini perlu diteruskan. Ubat itu, pasti datang. Jiwa, hati, rasa dan perasaan, bukankah itu pilihan sendiri?

Dari Allah insan datang, kepada Allah, insan pasti kembali........


18 November 2008
Bukit Raja, KLang.

No comments: